Saturday 11 August 2012

TAJUK 5: KONSEP KEPIMPINAN & PROFESIONALISME

KONSEP KEPIMPINAN

Kepimpinan mempunyai berbagai definisi mengikut takrifan seseorang. Walaubagaimanapun, satu definisi umum dapat di simpulkan, iaitu:
"Kepimpinan ialah proses mempengaruhi individu dan kumpulan untuk mencapai sesuatu matlamat".

Sebagai seorang pemimpin, tugas anda ialah untuk mengimbangi beberapa tuntutan atau keperluan, seperti keperluan diri, kumpulan dan organisasi. Mengikut John Adair pula, tugas pemimpin ialah untuk mengimbangi antara keperluan-keperluan tugas, pasukan dan individu.
Pemimpin dikenali dengan berbagai istilah, misalnya ketua, kepala, pengetua, amir, imam dan sebagainya. Istilah lain bagi pengikut ialah orang bawahan, ahli-ahli, anggota-anggota, pekerja, staff atau kakitangan (dalam konteks pengurusan) dan sebagainya.

Definisi Kepimpinan
Di antara definisi yang diberi untuk istilah kepimpinan ialah:
"Aktiviti untuk mempengaruhi individu supaya berusaha secara sukarela untuk mencapai objekti kumpulan dan organisasi."(Jaafar Muhammad).

"Pengaruh interpersonal yang dilaksanakan dalam sesuatu situasi menerusi proses komunikasi ke arah pencapaian satu matlamat yang khas" (Tannenbaum & Massarik).

"Satu usaha mempengaruhi individu untuk mengikut ke arah pencapaian matlamat yang sama". (Koontz & O'Donnell).

"Proses kepimpinan adalah bergantung kepada fungsi pemimpin, pengikut dan pembolehubah situasi." (Hersey & Blanchard).

Cara Mengklasifikasikan Pemimpin
Terdapat dua cara utama untuk mengklasifikasikan pemimpin. Pertama ialah dengan menggunakan pendekatan autokratik-demokratik-laissez-faire dan keduanya ialah pendekatan orientasi manusia-tugas.
Pemimpin autokratik: memaksa pengikut membuat sesuatu tanpa mengambilkira keperluan individu pengikut. Beliau tidak prihatin pada perasaan pengikut, oleh itu beliau selalunya tidak digemari. Pengikut melakukan sesuatu kerja atas dasar takut (motivation by fear).
Pemimpin demokratik: melibatkan pengikut dalam pembuatan keputusan. Biasanya disukai ramai kerana pengikut merasa mereka dihargai dan ada rasa pemilikan dan kekitaan.

Pemimpin laissez-faire: menyerahkan kepad pengikut untuk membuat keputusan. Beliau hanya terlibat secara minimal. Keadaan mungkin huru-hara akibat struktur tugas yang tidak jelas dan tidak terarah.

Pemimpin berorintasikan tugas: lebih mengutamakan soal-soal pencapaian pengeluaran atau hasil kerja dari hal ehwal pengikut.

Pemimpin berorintasikan manusia: mengambilkira keperluan individu dalam melaksanakan kepimpinannya.
Pendekatan Kajian

Terdapat 3 pendekatan utama yang digunakan oleh para pengkaji iaitu [1] pendekatan sifat, [2] pendekatan kelakuan, [3] pendekatan situasi

Pendekatan Sifat
Adalah cubaan pertama untuk menghuraikan konsep kepimpinan. Pemimpin mempunyai sifat-sifat, ciri-ciri atau keistimewaan-keistimewaan tertentu yang membezakan mereka dengan orang-orang lain. Senarai sifat-sifat tersebut mungkin terlalu panjang, tetapi secara kasarnya kita boleh katakan bahawa sifat-sifat seperti ketinggian, perawakan, ilmu, kepintaran, kejujuran, keyakinan, kepetahan berbicara, keramahan dan kemesraan, keinginan, keberanian dan sebagainya.

Kajian-kajian
Kajian awal banyak dilakukan dengan cara berikut: [1] mengkaji perbezaan antara sifat-sifat pemimpin dengan bukan pemimpin (pengikut); [2] mengkaji perbezaan antara sifat-sifat pemimpin efektif dengan tak efektif;

Kajian yang membandingkan sifat-sifat pemimpin dengan bukan pemimpin mendapati bahawa pemimpin adalah lebih intelligent, lebih tinggi, lebih berkeyakinan dan lebih berkehendakkan kepada kuasa berbanding dengan bukan pemimpin. Walaubagaimanapun kombinasi sifat-sifat tersebut bukanlah menjadi sesutu yang membezakan antara pemimpin efektif dengan pemimpin tak efektif. Pengkaji yang menggunakan pendekatan ini kelihatannya membuat andaian bahawa pemimpin adalah dilahirkan dan bukannya dilatih. Kajian bagaimanapun masih tidak dapat menyimpulkan bahawa satu set sifat-sifat yang tertentu dapat membezakan pemimpin efektif dengan pemimpin tak efektif.

Menurut kajian Stogdill, sifat-sifat kepimpinan efektif adalah seperti berikut: kemahiran sosial dan interpersonal, kemahiran teknikal, kemahiran pentadbiran, pencapaian dan keberkesanan pemimpin dan sebagainya.
Seorang pengkaji lain, Edwin Ghiselli dihormati kerana mutu kajiannya yang bersifat saintifik. Kajian beliau menunjukkan sifat-sifat berikut adalah penting: [1] kebolehan untuk menyelia [2] keinginan untuk berjaya dalam kerjaya [3] intelligent [4] kebolehan untuk membuat keputusan [5] keyakinan diri [6] mempunyai inisiatif.

Kelemahan Pendekatan Sifat
Banyak dari pemimpin-pemimpin dunia yang kita sanjungi mempunyai sifat-sifat tertentu yang menyebabkan mereka berjaya. Adalah sukar untuk mencari satu set sifat kepimpinan yang seragam yang ada pada setiap pemimpin. Lincoln dan Hitler, umpamanya, walaupun kedua-duanya adalah pemimpin mempunyai sifat-sifat yang berlainan. Winston Churchill adalah pemimpin cemerlang semasa Perang Dunia kedua. Siapa sangka beliau boleh kalah kepada seorang yang tidak terkenal ketika pilihanraya diadakan setyelah Perang Dunia Kedua tamat? Nampaknya situasi banyak memainkan peranan dalam menentukan kecemerlangan seseorang pemimpin.

Pendekatan Kelakuan
Oleh kerana pendekatan sifat tidak berjaya menghuraikan apa itu kepimpinan berkesan, maka perhatian beralih pula pada pendekatan kelakuan. Dalam pendekatan ini, para pengkaji telah mengandaikan bahawa pemimpin adalah dilatih dan bukannya lahir dengan sifat kepimpinan. Terdapat beberapa implikasi penting hasil dari penggunaan pendekatan ini. Pertama, dengan menumpukan apa yang pemimpin buat dan bukannya siapa atau apa sifat mereka, adalah diandaikan bahawa terdapat satu cara terbaik untuk memimpin. Kedua, sungguhpun sufat adalah semulajadi, kelakuan kepimpinan hendaklah dipupuk.

Pendekatan kelakuan membahagikan kelakuan manusia kepada 3 iaitu: [1] berorientasikan manusia; [2] berorientasikan tugas; [3] kombinasi kedua-dua sifat di atas.Di antara kajian-kajian dan teori-teori yang berasaskan pendekatan ini ialah:
[1] kajian oleh Kurt Lewin;
[2] Teori X dan Teori Y oleh McGregor;
[3] Petak Kepengurusan oleh Blake dan Mouton.

Pendekatan Situasi
Kedua-dua pendekatan terdahulu masih tidak berkemampuan untuk menerangkan konsep kepimpinan. Para sarjana mula membuat andaian bahawa tidak ada satu gaya pun yang berkesan untuk setiap pemimpin dalam semua keadaan. Pendekatan situasi memberi kefahaman baru bahawa faktor-faktor seperti situasi, manusia, tugas, organisasi dan persekitaran memainkan peranan dalam menentukan keberkesanan seseorang pemimpin. Antara teori-teori popular yang menggunakan pendekatan ini ialah:

[1] Kontinuum Kepimpinan Tannenbaum dan Schmidt;
[2] Teori Konstigensi Fiedler;
[3] Teori Kitaran Hidup Hersey dan Blanchard.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Keberkesanan
Menurut Mary Parker Follet, terdapat tiga pembolehubah yang memberi kesan pada gaya kepimpinan iaitu: [1] pemimpin; [2] pengikut; dan [3] situasi. Ketiga-tiganya adalah saling berkaitan dan saling berhubungan.
Kajian-kajian lain menunjukkan bahawa kepimpinan adalah sesuatu yang kompleks di mana banyak lagi faktor-fakto lain yang terlibat. Faktor-faktor itu boleh dibahagikan kepada dua, iaitu: [faktor makro; dan [2] faktor mikro.
Faktor-faktor makro ialah: [1] keadaan ekonomi; [2] sejarah dan kebudayaan; [3] industri; dan [4] organisasi.
Faktor-faktor mikro ialah: [1] latarbelakang dan personaliti pemimpin; dan [2] tingkat organisasi dan saiz kumpulan.
_____________________________________________________
NOTA YG BERKAITAN:
GAYA KEPIMPINAN
1.0 Pengenalan  
1.1 Kepimpinan ialah perkataan terbitan daripada “pimpin”. Pimpin bererti bimbing, pandu atau tunjuk. Memimpin diberi erti sebagai memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke sesuatu tempat. Kepimpinan membawa erti “keupayaaan memimpin” dan kepemimpinan pula “keupayaan sebagai pemimpin, daya seseorang pemimpin” (Kamus Dewan 1994). 
 
1.2 Kepimpinan ialah tingkah laku yang mempunyai keupayaan mengubah haluan sesuatu organisasi. Kepimpinan perlu memilih kriteria-kriteria tertentu dalam usaha mencapai objektif organisasi. Mereka boleh memantau orang bawahan agar mengikut kriteria yang dipilih untuk tujuan pembangunan dan kejayaan di samping dapat mempertahankan corak kerja berpasukan yang erat (Cartwright dan Zender 1960) dan (Halpin 1960). 
1.3 Kepimpinan merupakan satu subjek yang menarik kepada semua golongan masyarakat. Kepimpinan memberi gambaran individu yang berkuasa dan dinamik, yang memerintah tentera atau mengarah empayar korporat. Sejarah manusia penuh dengan pemimpin tentera, politik, agama dan sosial. Perjuangan pemimpin yang berani dan bijaksana menjadi intipati legenda dan mitos.  
2.0 Konsep Kepimpinan  
2.1 Menurut Stodgill (1974), kepimpinan adalah satu konsep yang sukar dan kompleks. Dia melihat kepimpinan sebagai satu fenomena manusia yang universal dan sukar difahami. Dinyatakan disini lima definisi yang dianggap sesuai dengan sesebuah organisasi. 
2.2 Kepimpinan ialah “satu proses  interaksi di antara individu dengan kumpulan atau khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahli yang menganggotai kumpulan. Setiap yang terlibat dengan proses interaksi ini boleh dianggap memegang peranan yang tertentu yang membezakan antara satu sama lain. Asas yang membezakan antara satu dengan lain ini ialah pengaruh, iaitu pemimpin mempengaruhi dan pengikut mematuhi” (Gordon 1955). 
2.3 Seorang ahli pengurusan pula, mendefinasikan kepimpinan sebagai “satu proses cubaan mempengaruhi sesuatu kumpulan dalam situasi dan masa yang khusus yang dapat merangsang ahliahli untuk berusaha secara rela hati bagi mencapai matlamat bersama” (Gribben 1972).  
2.4 Pemikir lain berpendapat bahawa “kepimpinan secara amnya bermakna pengaruh, satu seni atau proses mempengaruhi manusia supaya mereka dapat berusaha secara sukarela ke arah mencapai matlamat bersama” (Koontz 1984).  
2.5 “Kepimpinan melibatkan  kedua-dua keupayaan atau kekuatan untuk meyakinkan orang lain supaya bekerja keras ke arah suatu matlamat dan kemahiran atau kebolehan untuk membantu mereka mencapainya” (Fulmer 1988).  
2.6 Dalam tulisannya “Leadership Dynamic”, Hollander (1978) mendefinasikan kepimpinan sebagai “ satu proses pengaruh mempengaruhi di antara pemimpin dan pengikut. Meskipun pemimpin mempunyai kuasa tetapi kekuatan pengaruh lebih Pengurusan Persatuan dan Kelab bergantung kepada pujukan dari paksaan. Proses kepimpinan selalunya melibatkan pertalian pengaruh yang bersifat dua arah dan tujuan utama ialah untuk mencapai matlamat bersama”.  Daripada pelbagai definisi yang dikemukakan di atas maka dapatlah dirumuskan seperti berikut:  
i. Kepimpinan wujud dalam apa jua aktiviti yang disusun secara rapi dan sistematik.Kepimpinan juga berkait secara langsung dan tidak langsung dengan keseluruhan aktiviti dalam organisasi.
ii. Kepimpinan mempunyai perkaitan rapat dengan kuasa. Setiap ketua perlu memiliki perancangan sendiri yang mantap.
iii. Kepimpinan mengandungi tugas-tugas serta fungsi bagi:
  a. menetapkan matlamat
  b. menyusun
  c. mengarah dan menyelaras
  d. mengawal bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.
 
iv. Kepimpinan merupakan satu proses mempengaruhi orang bawahan dan merupakan satu proses yang berterusan. 
v. Setiap keadaan memerlukan corak atau gelagat kepimpinan yang sesuai untuk sesuatu keadaan. Oleh itu kepimpinan ialah fungsi yang bersifat khusus. 
vi. Pemimpin seharusnya berkeupayaan untuk memujuk agar dapat mendorong orang bawahan bekerja ke arah pencapaian matlamat organisasi. 
vii. Kepimpinan yang berkesan dapat memberi kepuasan kepada pengikut dan keadaan ini akan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang. Pekerja akan bekerja bersungguh-sungguh sehingga objektif organisasi tercapai. Tekanan dan hukuman hanya dapat meningkatkan produktiviti dalam jangkamasa yang pendek, tetapi dalam jangka masa panjang pekerja akan menimbulkan reaksi negatif dan melahirkan rasa tidak puas hati dan bersikap menentang. Mengadakan perbincangan dan membuka peluang kepada subordinate untuk mengemukakan idea-idea baru kepada sesuatu perancangan yang dibuat merupakan langkah yang baik bagi pemimpin untuk meningkatkan kepuasan kerja. Pengikut atau orang bawahan akan lebih terdorong untuk bekerja kuat dan berdedikasi.  
3.0 Gaya Kepimpinan 
Gaya kepimpinan merupakan  cara seseorang pemimpin menggunakan kuasa yang dimiliki sebagai alat untuk mempengaruhi pekerja supaya bekerja kuat untuk mencapai objektif organisasi.  Pada dasarnya stail kepimpinan dapat dibahagikan kepada empat jenis seperti yang dijelaskan oleh Blake & Mouton (1964) iaitu:  
3.1  Kepimpinan Autokratik    
Seseorang pemimpin yang autokratik adalah mementingkan pelaksanaan tugas. Dia memimpin dengan menggunakan sumber kuasa formal. Pemimpin yang mengamalkan stail ini akan membuat keputusan yang berkaitan dengan tugas, mengeluarkan arahan dan memastikan arahan itu dipatuhi. Contoh kepimipnan seperti ini boleh dilihat di dalam industri.  
3.2  Kepimpinan Berperikemanusiaan 
Kepimpinan yang berperikemanusiaan menunjukkan minat yang lebih terhadap kakitangannya. Dia mementingkan suasana kerja yang baik, dipupuk melalui jalinan persahabatan yang mesra di kalangan semua kakitangan. Konflik cuba dihindarkan dengan menganjurkan permuafakatan.  
3.3  Kepimpinan Demokrasi 
Stail kepimpinan demokratik dikenali juga sebagai pemimpin yang mengalakkan kesemua kakitangannya melibatkan diri dalam organisasinya. Peluang diberi kepada setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau pandangan sebelum sesuatu keputusan diambil.   
  
3.4  Kepimpinan Laissez-Faire (kebebasan) 
Pemimpin yang mengamalkan stail kepimpinan laissez-faire, tidak begitu berminat dengan urusan yang diamanahkan kepadanya. Beliau biasanya  tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya. Kuasa yang ada padanya tidak digunakan. Pemimpin jenis ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya.  Gaya kepimpinan yang agung sekali ialah seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. yang diakui oleh seluruh umat sama ada Islam atau bukan Islam.  Seorang ahli sejarah dan astronomi bernama Michael Hart telah menulis bahawa orang yang sangat berpengaruh di antara jutaan orang yang lahir iaitu Muhammad pemimpin Islam; sebab dialah satu-satunya orang dalam sejarah yang berjaya gilang-gemilang dalam dua bidang sekali gus, iaitu kehidupan agama dan melaksanakan pengurusan umat di dunia (Newsweek 1978). 
4.0 Kepimpinan Berkesan 
Pengikut menyumbang kuasa yang besar kepada pemimpin mereka dan kepimpinan dikaitkan dengan kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi. 
4.1 Drucker (1985) berpendapat kejayaan sesebuah organisasi adalah tanggungjawab eksekutif. Bagi organisasi seperti universiti, kejayaannya adalah tanggungjawab Kumpulan Pengurusan. Mereka bertanggungjawab terhadap prestasi sendiri, pekerja, hasil serta kualiti perkhidmatan.  
4.2 Edmond (1978) berpendapat  “principals can make a difference”, yang membawa maksud bahawa sesebuah organisasi boleh dimajukan dan kemajuannya berpunca daripada kepimpinan pihak pengurusan. Keupayaan memupuk kerjasama antara pengurusan dan pekerja  di dalam pelbagai aktiviti organisasi merupakan prasyarat penting kepada kepimpinan berkesan. 
Penyelidikan yang dibuat oleh pakar-pakar pengurusan menyatakan ciri-ciri yang lazim ada pada kepimpinan yang berkesan ialah :  
i. Semangat – mereka mempunyai cita-cita, ketabahan, ketekunan, tekad, daya usaha, tenaga dan hasrat untuk berjaya.  
ii. Kejujuran dan integriti- mereka mempunyai sikap terbuka, boleh dipercayai, jujur dan boleh diharapkan.
  
iii. Dorongan kepimpinan- mereka mempunyai hasrat yang tinggi mahu mempengaruhi individu lain supaya menyokong usaha mencapai tujuan dan matlamat yang sudah ditetapkan oleh pemimpin. 
iv.  Keyakinan diri- mereka sangat percaya pada keupayaan diri sendiri.   
v.  Kepintaran- mereka berupaya menggabungkan dan mentafsirkan maklumat-maklumat yang banyak. Kajian mendapati otak yang sangat pintar belum tentu boleh membuatkan seseorang itu menjadi pemimpin yang berjaya malah adakalanya menimbulkan kesan negatif pula.  
vi.  Pengetahuan dalam bidang- mereka mempunyai ilmu dan kepakaran yang cukup dalam bidang yang dipimpin.  
vii.  Kreativiti- mereka berupaya mencipta idea-idea baru yang berguna.  
viii.  Fleksibiliti- mereka berupaya menyesuaikan diri kepada keperluan individu yang mereka pimpin dengan keperluan situasi dan masa.  
5.0 Kesimpulan  
5.1 Daripada perbincangan di atas perlu saya tegaskan bahawa kepimpinan adalah proses dimana seseorang individu itu mempengaruhi anggota-anggota lain didalam kumpulannya kearah mencapai tujuan dan matlamat kumpulan itu.  
5.2 Dalam erti kata yang lain, kepimpinan ialah proses yang sangat berkaitan dengan pengaruh dimana seseorang itu berjaya mempengaruhi mereka yang dipimpin supaya mengubah sikap dan tingkah laku mereka.  Tegasnya, pemimpin memimpin dan dipimpin. Kepimpinan ialah tenaga penting di sebalik kejayaan organisasi dan organisasi tidak boleh mencapai kejayaan tanpa kepimpinan yang berkesan.

No comments:

Post a Comment